Mimpi


Malam itu nak kata aku demam, check suhu badan masih normal. Tapi badan aku panas penuh peluh. Tak lama lepas itu, tangan jadi sejuk yang amat. Aku tak turun untuk makan malam. Tengahari pun tak ada selera nak makan. Ustaz Emir bagi ubat demam dekat abah, takut-takut makin teruk pula esok pagi. 

Pagi keesokkan harinya aku kedatangan wanita cantik berniqab. Mengenakan baju kelabu cair ala-ala coat berbelah tengah duduk betul-betul disebelahku. Kelihatan seperti baru berumur 20-an. Dari matanya kelihatan dia sedang meleparkan senyuman. Berbahasa arab tapi muka ala-ala orang putih. Tingginya lebih kurang 5 kaki 4 inci, ramping susuk tubuhnya, kulit pipinya mulus merah jambu, mata kelabu hijau, bibir nipis merah delima. Terpesona aku melihat parasnya seperti seorang bidadari syurga. Dia tanya aku mahu ke mana lembut suaranya. Aku jawab tak ada kemana-mana sengaja mahu pusing al-Haram. Dia kata dia ke situ untuk "akad". Dalam benak hatiku, "Oh mungkin nak akad nikah." Panas terik waktu itu, dia terus gapai tangan aku cari tempat berteduh. 10 minit berbual sepertinya kami seperti sudah akrab.

Di bawah pokok rendang, dia bercerita. Faham tak faham, aku iyakan saja. Aku tanya, kenapa sendirian? Terus dia berhujah, "Dalam hidup ini aku dan engkau perlu membiasakan diri bersendirian." "Tak takut ke?" Celah aku. Dia menjawab, "Jangan risau Allah sentiasa bersama kamu. Malaikat-malaikat juga ada di kanan dan kiri kamu. Jangan risau, jangan risau."

Entah macam mana, mungkin dia lihat aku pucat dan tak bermaya. Terus dia memegang bahuku dan berkata, "Sakitmu ini penghapus dosa. Kafarah dosa ini meningkatkan ketaqwaan dan darjatmu. Sabrun jameel (sabar itu indah). Akan datang kepadamu orang yang membantumu meninggkatkan ketaqwaanmu. Peliharalah hatimu untuknya. Akan datang kepadamu ujian dalam perjalananmu menuju syurga Allah. Bersabarlah bidadari." Aku terdiam. Baiknya dia. Mesti bakal suaminya beruntung memilikinya.

Tiba-tiba azan zohor berkumandang. Kami solat berjemaah. Selesai solat, dia meminta izin untuk pergi. Dia memeluk erat tubuhku. Terasa seperti ada kedamaian dalam dakapan itu. Sebelum dia hilang dari pandanganku sempat aku menjerit bertanyakan siapa namanya, dia menoleh dan berkata "Zahida!". Dia berlalu dengan senyuman manis dan terus hilang dari padangan. 

"Pap!" Kedengaran bunyi pintu ditutup. Oh abah. Eh aku mimpi? Eh masih jam 12 malam? Habis basah katilku, penuh peluh. "Dah okay?" tanya abah. "Better, Alhamdulillah." Terus aku memandang ke arah jendela disebelah katil yang berlatarkan pemandangan Kaabah dan orang sedang bertawaf lantas aku senyum dan hatiku berbisik "Terima kasih ya Allah. Semoga kita bertemu lagi Zahida."

 Pemandangan dari tingkap katil aku di Makkah, setiap saat setiap minit setiap jam kelihatan umat-umat Nabi Muhammad bertawaf mengelilingi Kaabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan